Sunday, June 19, 2011

Khas Untuk Pesta Buku Selangor 2011

Bismillahirrahmanirrahim


Afdlin Shauki - Mia Sara

Syukur atas segala kurniaan Ilahi, masih lagi diberikan kesempatan untuk kita bertemu lagi kali ini. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan S.A.W.

Untuk entry kali ni, saya nak story skit tentang novel baru saya yang akan keluar next week. Tajuk novel kali ni ialah “MIA SARA”. Ni bukan cite pasal adik Mia Sara pelakon tu tau, tapi tentang kisah remaja dan yang pastinya novel ni sesuai dibaca oleh semua golongan dari kecil sampailah ke makcik-makcik, pakcik-pakcik, atok-atok dan nenek-nenek walaupun bergenre kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai B.O.M (Buku Buat Orang Muda)…

Novel ni akan menemui semua pembaca pada Pesta Buku Selangor yang akan bermula pada 24 Jun hingga 3 Julai 2011 di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam. Jangan lupa tau dapatkan novel ni… Novel-novel terbitan Jemari Seni Sdn. Bhd. juga kini sudah boleh didapati di Kedai Buku MPH dan POPULAR. Pembelian secara online juga boleh dilakukan di laman web Jemari Seni Sdn. Bhd… 

Sedikit review tentang Novel MIA SARA
Mula-mula tak terfikir pun nak tulis novel seperti ni. Encik Rosdi, proofreader di JS Adiwarna menyatakan yang novel ni ala-ala chic lit… Huhuuu…. Entah, ye kot…. Saya pun agak setuju…. =)

Semua ni start masa saya hadir pada sesi bertemu penulis di Pesta Buku Kanak-kanak 2010 yang berlangsung Disember lepas di PWTC. Masa tu saya, Kak Yah dan Kak Su saja-saja aje berborak pasal nak buat novel yang seterusnya. Beliau yang mencadangkan agar saya membuat novel berkisahkan tentang kehidupan remaja perempuan ala-ala havoc gitu… Jujur sebenarnya bukan senang untuk buat novel ni… Memang sangat mencabar minda bila nak start cari idea buat novel ni…

Pikir punya pikir, akhirnya saya came out dengan idea untuk menghasilkan kisah MIA SARA ni. Kisah tentang seorang gadis kampung, yang punya geng sendiri dan cukup popular dikalangan pelajar lelaki di sekolahnya. Even duduknya hanya di dalam kampung, tapi mindanya tidak terperangkap hanya di dunia ‘kampung’ aje. Ha… macam mana tu??? Kalau nak tahu, kenalah baca novel ni.

Dan, ada sebab kenapa saya memilih background kampung sebagai latar cerita. Ini adalah sebab saya nak sampaikan beberapa mesej penting pada para pembaca untuk ubah mind set anda terhadap kampung.

Dan mesej yang paling utama, adalah unsur Islamik yang cuba saya tekankan dan sampaikan dalam novel ni. Walaupun MIA SARA ni seorang remaja perempuan yang up to date, gemar berfesyen dan sebagainya… tapi perihal agama adalah perkara utama yang menjadi teras kehidupannya. Ha… mesti susah nak imagine kan MIA SARA ni macam mana orangnya ya… Gedik??? Atau bagaimana???

Jadi, kenalah baca novel ni sampai habis… Novel ni penuh dengan berbagai plot cerita... dengan nilai moral, murni dan positif. Tak ketinggalan juga terdapat beberapa plot konflik yang sering melanda para remaja zaman sekarang… yang mungkin pernah menerjah diri anda (sebab anda semua juga pasti akan melangkah ke alam remaja… atau anda pernah menjadi remaja), betul tak?

Apapun, paling penting, fahamilah sedalam-dalamnya mengapa seorang remaja itu perlu bijak untuk menyelesaikan kemelut di alam remaja dan konflik yang sedang melanda diri…
Percayalah, MIA SARA bukan sekadar sebuah novel picisan yang cuma jadi bahan bacaan dan kemudian dilupakan…. Kerna terdapat pelbagai info yang berguna buat para pembaca yang benar-benar menghayatinya.

jangan lupa dapatkan novel Mia Sara di pasaran
Di dalam novel ni juga diselitkan tentang fakta sejarah, resipi, tips-tips mahupun pelbagai info tambahan yang sesuai dijadikan sebagai rujukan pembelajaran…. Bertepatan dengan prinsip saya sebagai penulis untuk memberikan dua mesej utama pada semua; untuk memberi keseronokan dalam membaca dan paling penting dapat memberi ilmu pengetahuan kepada para pembaca.


Ok, sebelum saya mengundurkan diri, ingin saya berpesan sekali lagi jangan lupa datang beramai-ramai ke pesta buku Selangor bermula 24 Jun hingga 3 Julai 2011 di Pusat Konvensyen Shah Alam...datang jangan tak datang...jangan lupa juga dapatkan novel-novel saya... hanya di gerai Jemari Seni Sdn Bhd... :)




Wassalam...




Nota kaki : Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa, ayah-ayah, papa-papa, daddy-daddy, walid-walid, abi-abi...






umiamira
Email : uys.umiamira@gmail.com
Facebook : www.facebook.com/umeiameira

Thursday, June 16, 2011

Gerhana Penuh Bulan 16 Jun 2011 - Tanda Kebesaran dan Keagungan Allah

Bismillahirrahmanirrahim...


Snada - Demi Matahari

gambar hiasan : kejadian gerhana bulan penuh
Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Yang Maha Kuasa, atas limpah kurniaNya, kita masih lagi terus bernafas hingga ke saat ini.

Untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi info tentang salah satu kebesaran Allah iaitu  gerhana bulan penuh. Dan seperti yang diwar-warkan bahawa awal pagi tadi berlakunya gerhana bulan penuh. Oleh yang demikian, ingin saya berkongsi dengan anda semua pengunjung blog saya tentang gerhana bulan penuh menurut pandangan Islam.


"Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan Bulan bercahaya
dan ditetapkanNya manzilah-manzilah (tempat-tempat) 
bagi perjalanan Bulan itu, supaya kamu mengetahui 
bilangan tahun dan perhitungan. Allah tidak menciptakan 
yang demikian itu melainkan dengan hak. 
Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya) 
kepada orang-orang yang mengetahui." 
(Yunus :5)


Sejak dari zaman dahulu manusia kagum dan takjub melihat kejadian-kejadian yang berlaku di alam semesta ini. Kejadian-kejadian yang berlaku menarik perhatian manusia untuk mengkajinya bagaimana terjadinya kejadian siang-malam, Bulan, Matahari dan jasad-jasad samawi yang lain.

Sebenarnya segala kejadian di alam ini baik di Bumi mahupun di langit adalah ciptaan yang Maha Pencipta. Di sebalik kejadian alam seperti kejadian pasang-surut, siang-malam, gerhana, komet dan lain-lain mengandungi satu hakikat kebenaran yang tidak dapat disembunyikan dan ditolak iaitu tentang kekuasaan yang Maha Pencipta bagi orang-orang yang berakal dan mahu berfikir.

Semua yang wujud di alam ini ada Pemilik dan Penciptanya iaitu Allah. Dia yang menjadikan segala sesuatu dari sekecil-kecil jasad yang bersaiz mungkin lebih kecil dari elektron hingga ke galaksi atau yang lebih besar dari itu tanpa bantuan sesiapa pun dan tidak merasa letih atau penat.


"Dan sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan Bumi dan apa yang ada di
antara keduanya dalam enam masa dan Kami sedikit pun 
tidak ditimpa keletihan" 
(Qaaf:30)


Marilah kita sama-sama merenung kejadian gerhana penuh Bulan pada malam 16 Jun 2011 (bersamaan 14 Rejab 1432) dengan akal dan mata hati yang telah Allah kurniakan.

Kejadian gerhana merupakan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran ALlah.


Diriwayatkan oleh Abu Musa Al Asy ‘ary bahawa Rasulullah S.A.w bersabda

“Bahawasanya tanda-tanda ini (gerhana) Yang Allah kirimkan, 
dijadikan sesuatu darinya bukanlah kerana mati seseorang atau kerana lahirnya. 
Tetapi Allah Aza wa Jalla mengirimkan buat mempertakutkan hamba-hambaNya 
dengan tanda-tanda itu. Maka apabila kamu melihat sesuatu darinya 
bersegeralah menyebut Allah, berdoa dan beristigfar.” 
( Bukhari dan Muslim)


Gerhana Bulan hanya berlaku apabila Bulan purnama, tidak berlaku di waktu selain purnama. Ketika itu Bumi berada betul-betul di antara Matahari dan Bulan. Oleh kerana Bumi terletak di tengah antara Matahari dan Bulan menyebabkan cahaya dari Matahari akan dilindung oleh Bumi. Ini menyebabkan bayang terbentuk di sebelah belakang Bumi. Apabila Bulan beredar di dalam orbitnya dan memasukki kawasan bayang tersebut maka Bulan mengalami gerhana. Bulan tidak kelihatan bercahaya. Sebaliknya Bulan kelihatan gelap sedikit demi sedikit sehingga penuh apabila seluruh Bulan memasukki kawasan bayang.

Pergerakan Bulan, Bumi dan Matahari mempengaruhi terjadinya gerhana. Di antara kekuasaan Allah, Dialah yang menggerakkan dan menetapkan laluan Matahari, Bulan dan Bumi sejak dari mula ia diciptakan hingga ke hari ini sehinggalah kiamat.


"Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan Bulan, masing-
masing dari keduanya beredar di dalam garis orbitnya."
(Al Anbiya :33)


Kekuasaan Allah terhadap mengerakkan Matahari dan Bulan boleh direnungkan dari beberapa sudut diantaranya;

i.
Tempat Edar (Orbit) : Dari kajian astronomi menunjukkan Matahari bergerak di laluan (orbit) yang tertentu dan satu pusingan orbit Matahari memakan masa selama 250 juta tahun. Dan satu pusiangan orbit Bulan memakan masa selama 29 hari. Manakala satu pusingan orbit Bumi memakan masa 365 hari dengan jarak yang ditempuh sejauh 960 juta kilometer.

ii. 
Kelajuan : Setiap yang bergerak mempunyai kelajuannya yang tertentu. Jika ada orang yang terpegun melihat kelajuan kereta lumba ‘formula one’ yang boleh mencapai kelajuan sehingga 300 kilometer sejam tetapi kelajuan Matahari dan Bulan jauh lebih hebat. Kelajuan Matahari ialah 12,800 kilometer sesaat manakala Bulan 10 kilometer sesaat dan Bumi 30 kilometer sesaat. Masing-masing bergerak tepat dengan kelajuannya tanpa ada yang terlewat atau tercepat walaupun sesaat.

Belum ada teknologi ciptaan manusia yang boleh menandingi kelajuan ciptaan Allah. Ketepatan masa sehingga kepada saat setiap jasad itu bergerak. Begitu halus dan teliti kiraan Allah. Cubalah kita renungkan dengan akal dan mata hati betapa hebat perjalanan sistem Allah. Tidak mungkin ia berlaku secara kebetulan tanpa ada yang mengatur dan menentukan.

Sekarang mari kita renungkan betapa hebat perjalanan Matahari dan Bulan. Dari sudut astronomi detik berlakunya gerhana menunjukkan betapa tepatnya hitungan pergerakan Bulan dan Matahari. Betapa rumit, teliti dan halus pergerakan ketiga-tiga jasad Bumi, Bulan dan Matahari berdasarkan kepada perkiraan matematik.


"Matahari dan Bulan beredar mengikut perhitungan"
(Ar-Rahman :5)


Oleh kerana Allah telah menyebutkan di dalam AlQuraan bahawa Matahari dan Bulan itu bergerak mengikut perhitungan ( matematik ) maka manusia dapat menghitung bila gerhana akan berlaku dan kejadian lain yang berkaitan.

Menurut hitungan matematik yang lebih tepat lagi satu pusingan Bulan memakan masa purata selama 29 hari 12 jam 44 minit 2.9 saat. Nilai ini menunjukkan betapa teliti kiraan pergerakan Bulan. Begitulah juga dengan Bumi dan Matahari. Jika kira renungkan bagaimana Matahari, Bumi dan Bulan masing-masing bergerak dengan kelajuan masing-masing yang sangat laju boleh tiba saat yang tepat berlakunya gerhana. Mengikut hitungan matematik gerhana malam ini Bulan akan mengalami gerhana penuh iaitu seluruh permukaan Bulan menjadi gelap. Gerhana penuh Bulan pada malam 16 Jun 2011, akan dapat diperhatikan apabila Bulan mula memasuki kawasan bayang gelap bumi (umbra) tepat jam 2.23 pagi. Bulan akan sedikit demi sedikit akan menjadi gelap akibat memasukki kawasan bayang Bumi sehingga ia akan gelap seluruhnya pada jam 3.22 pagi. Selepas itu Bulan sedikit demi sedikit akan mula bercahaya semula dan bercahaya semula pada 05:05 pagi

Demikianlah hebatnya persembahan di langit pada malam ini. Sebenarnya kejadian gerhana ini memperlihatkan akan kekuasaan Allah bagi orang yang mahu berfikir. Jika mata hati seseorang itu tidak tertutup, ia dapat melihat perjalanan sistem Allah yang menggambarkan keharmonian, ketertiban dan kebijaksaan. Bagi orang yang berakal dan berfikir tentang kejadian di sekelilingnya dan diri mereka sendiri dapat melihat dalam setiap kejadian itu mengandungi kerumitan, kehalusan, kebijaksanaan dan keharmonian. Bagi orang yang waras tidak mengatakan semua ini terjadi dengan sendirinya. Tetapi ia akan meyakini di sebalik penyusunan sistem ini terdapat Pencipta yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Sempurna lagi Maha Perkasa.

Pengajaran yang boleh kita ambil ialah jika Allah boleh memperhitung dengan begitu teliti, halus dan tepat perjalanan alam cakerawala yang lebih besar dan rumit keadaannya sudah tentu lebih mudah bagi Allah untuk menghitung amal-amal dan pekara-pekara yang dilakukan oleh manusia samada zahir atau tersembunyi. Semoga kejadian gerhana ini mengingatkan kita betapa kerdil dan lemahnya manusia dan betapa Maha Berkuasa dan Maha Agong Allah yang mencipta dan mentadbir sekelian alam. Oleh itu kepada Allah kita memperbanyakkan memohon keampunan dan taubat di atas kealpaan dan kesilapan yang kita lakukan di samping memperbanyakkan amal kebaikan dengan berdoa dan beramal soleh serta lakukan solat sunat gerhana.

Semoga Allah menerima taubat dan doa kita. Amin.

Semoga sahabat-sahabat pembaca semua mendapat sedikit sebanyak manfaat daripada entry saya kali ini. Semoga ianya dapat menjadi iktibar kepada kita dalam memuhasabah diri ini, InsyaAllah...


Wassalam...


Nota kaki : Malam tadi dah kunci jam nak bangun pukul 3, konon nak tengok gerhana, tapi last-last terlajak la pulak.hehehehe...





umiamira
Email : uys.umiamira@gmail.com
Facebook : www.facebook.com/umei ameira

Jom Berkongsi Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim...


Salma - Aku Permata

Bertemu lagi kita sekali lagi. Syukur ke atasNya atas limpah kurnia dah nikmat kesihatan yang melimpah ruah, juga selawat dan salam buat Nabi Junjungan Muhammad S.A.W.

Untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi sedikit tips untuk jadi seorang penulis kreatif dengan semua. Bukan saya nak menunjuk atau niat lain, tetapi sekadar berkongsi pendapat dan pengalaman saya sepanjang terlibat dalam dunia penulisan kreatif ini.


"hasil penulisan yang baik datang dari hati..."



Antara tipsnya ialah :

1. Disiplin Diri

Anda perlu ada disiplin diri yang tinggi. Ini ada kaitan dengan penggunaan masa. Sekiranya anda tidak berdisiplin, maka anda tidak akan bertemu dengan masa untuk menulis. Dalam hal ini jua, anda tidak boleh berputus asa sekalipun sudah banyak kali mencuba dan tidak menjadi. Dengan disiplin diri yang baik, anda akan terus mencari masa dan membuat semakan bagi membolehkan anda menulis.

2. Imej Penulisan
Anda perlu mencari suatu imej yang anda ingin tonjolkan dalam penulisan anda. Imej ini ada kaitan dengan ‘genre’ yang anda pilih dan juga diri anda sendiri. Jangan tiru imej orang lain kerana ia tidak sesuai kalau tidak kena dengan diri anda itu. Ingat… imej inilah yang akan kekal dengan pembaca nanti.

3. Kajian
Sebagai penulis kreatif, anda perlu rajin. Anda wajib lakukan kajian, mencari fakta yang tepat dan seterusnya mencari bahan yang sesuai untuk penulisan anda. Tidak kiralah apa ‘genre’ nya dan apa imej yang ingin anda ketengahkan, anda mesti lakukan kajian. Jangan main agak-agak. Penulis mesti andaikan pembacanya adalah terdiri daripada orang yang bijak pandai dan kerana itu juga penulis tidak boleh ‘acuh tak acuh’ dalam membentangkan apa sahaja maklumat dalam penulisannya.

4. Mata dan Hati
Tulislah dari mata dan hati anda. Tulis perkara-perkara yang anda lihat dan juga anda rasai. Cari bahan-bahan yang dekat dengan hati anda agar apa yang anda tulis itu sangat berkesan untuk pembaca. Tidak kiralah penulisan itu jenis inspirasi atau novel.

5. Belajar
Dalam proses penulisan, anda mesti anggap diri anda sedang belajar. Sebagai manusia, kita tidak lengkap dan kerana itu kita perlu terus belajar perkara yang baru. Belajarlah dari mereka yang lebih tahu, dari teman-teman dan juga dari pembaca. Belajar juga dari buku-buku dan maklumat yang terdapat di Internet.

6. Kelengkapan yang Sesuai
Untuk menulis dengan efektif dan selesa, anda perlukan kelengkapan dan alat yang sesuai seperti komputer, kerusi dan meja, kamus, buku rujukan, tempat dan suasana yang boleh membawa inspirasi kepada anda.

7. Perancangan
Buat perancangan tentang subjek yang anda ingin tuliskan. Pastikan objektifnya. Perancangan penulisan ialah seperti menguruskan sebuah projek.

8. Konsep dan Tema
Anda perlu tahu konsep dan tema anda. Kalau tidak pasti, cari maklumat sebelum menulis. Pastikan dalam hal ini anda pentingkan kelainan. Jangan buat apa orang lain sudah lakukan.

9. Tajuk Tentatif
Tajuk atau judul sementara perlu ada. Ini akan memudahkan kerja anda. Perlu ingat bahawa judul ini adalah sementara sahaja kerana biasanya pihak penerbit akan menukar mengikut keperluan semasa.

10. Jalan Cerita
Tidak kira apa jenis penulisan anda (kecuali ilmiah), anda perlukan gambaran jalan cerita yang ingin diaturkan dalam penulisan anda.

11. Watak
Bagi penulisan buku cerita atau novel, anda perlu tahu watak-watak yang akan berperanan dalam penulisan anda. Aturkan watak utama dan kemudiannya watak-watak sampingan. Anda perlukan deskripsi watak-watak ini, misalnya gambaran fizikalnya, kelakuannya, teman-temanya, ahli keluarga dan sebagainya.

12. Lokasi
Bagi penulisan fiksyen, anda perlu tahu lokasi yang anda ingin gambarkan dalam penulisan. Tidak kira sama ada cerita itu berbentuk sci-fi, dogeng atau ‘present date’, anda perlu gambarkan latar tempat.

13. Ringkasan Plot
Untuk mudahkan penulisan, terutama bagi penulisan manuskrip fiksyen, eloklah anda aturkan ringkasan plot anda agar anda tidak keliru nanti.

14. Mesej
Pastikan penulisan anda membawa mesej-mesej tertentu yang akan memberi makna kepada pembaca.

15. Unsur Suspen
Dalam sebuah penulisan fiksyen yang baik, unsur turun naik perlu ada. Detik-detik saspens dan unsur berteka-teki akan menguatkan jalan cerita anda. Pastikan anda tahu di mana letak klimaks cerita anda itu.


Rasanya, itu saja yang ingin saya kongsikan bersama anda semua pengunjung blog saya ini. InsyaAllah kita akan jumpa lagi dalam entry saya yang akan datang, mungkin dengan tips-tips yang lain pula.


Wassalam.




Nota kaki : Kalau anda ingin memberikan cadangan untuk tips pada entry yang akan datang, bole hantar komen atau cadangan anda, saya akan cuba mencari informasi untuk anda semua dan boleh la kita kongsi bersama.






umiamira
Email : uys.umiamira@gmail.com
Facebook : www.facebook.com/umei ameira


Cubaan Kedua

Bismillahirrahmanirrahim...


Faizal Tahir - Adrenalin


cover novel Kelab Detektif Muda

Kalau dalam entry sebelum ni, saya dah cerita tentang novel pertama saya berjudul Terima Kasih, Cikgu!, kali ini saya nak story sikit tentang kelahiran novel saya yang ke-2.

Novel ke-2 saya adalah sebuah novel bergenre misteri yang berjudul "KELAB DETEKTIF MUDA". Wah, macam menarik je bunyinye kan?. Betul tak? Betul...betul...betul...(pinjam trademark upin ipin. Hehehehe...) Dari kecil lagi saya sebenarnya sangat menggemari novel-novel siri penyiasatan. Contohnya, Siri Hadi. Mungkin sebab itulah timbul niat yang menggunung tinggi untuk cuba menghasilkan sebuah novel yang bergenre seperti itu. Alhamdulillah, hasrat itu kini telah pun menjadi kenyataan.

Terima kasih yang tak terhingga buat pihak Jemari Seni Sdn. Bhd. khususnya pada Encik Rosdi, Kak Su dan Kak Yah yang sudi menerima manuskrip tersebut untuk dijadikan novel bacaan buat orang muda... 

Dan untuk pengetahuan semua, sebenarnya saya menyimpan hajat untuk menghasilkan sequel untuk novel Kelab Detektif Muda ini, sebolehnya seperti Siri Hadi atau Enyd Blytons tu... Tapi dengan cetusan idea tersendiri.. Tapi, atas sebab kekangan masa kerana sedang menyiapkan manuskrip lain, saya terpaksa menangguhkan hasrat ini buat sementara waktu. Mungkin satu masa nanti, selepas melahirkan anak sulung pada bulan September  nanti, InsyaAllah....

Berikut merupakan sedikit sedutan beberapa babak yang terdapat di dalam novel ini...

I
"Err... tapi kan abah, katanya rumah tumpangan Pak Cik Safuan tu tak ada sesiapa pun nak duduk sebab penghuninya selalu diganggu dengan bunyi-bunyi yang menyeramkan," Dafi berkata lagi.

II
"Emm... memandangkan kamu semua masih budak-budak lagi, abang rasa kamu semua tak payahlah pergi ke sana, ya? Lagipun tempat tu memang berbahaya. Abang pun tak berani pergi ke sana. Sekali kamu sesat di sana, kamu semua belum pasti dapat pulang lagi ke sini, tahu?" Johnny semakin serius berbicara.

III
"Kan Pak Man dah bilang, jangan sesuka hati nak merayau-rayau di rumah tumpangan ni. Kenapa degil sangat kamu ni, hah? Pak Man tak nak tengok kamu dan kawan-kawan kamu jadi penyibuk lagi di rumah tumpangan ni. Jangan usik apa-apa yang bukan hak kamu di sini. Dah, pergi balik ke chalet kamu sekarang juga! Nahas kamu semua kalau masih nak masuk campur urusan di sini!" Pak Man memberi arahan keras kepada Irdina.

penulis sedang melayan kerenah pengunjung yang membeli novel di booth JS

Bergambar bersama adik cilik yang membeli novel Kelab Detektif Muda...Wah!!!

Untuk pengetahuan semua, novel ini sebenarnya telah diterbitkan serentak dengan novel Terima Kasih, Cikgu! sempena Pesta Buku Kanak-Kanak 2010. Memang amat mengujakan sebab 2 novel diterbitkan sekali gus, dan yang pasti ianya memberikan lebih dorongan kepada saya. Lebih-lebih lagi dengan sambutan yang diberikan oleh pengunjung-pengunjung pesta buku tersebut membuatkan ianya lebih memberi makna kepada saya. Ada juga di kalangan pengunjung membeli kedua-dua koleksi novel saya sebagi ole-ole dari pesta buku tersebut. Memang satu perasaan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Jadi, kepada semua para pengunjung blog saya ini, sekiranya anda masih belum mendapatkan naskhah novel Kelab Detektif Muda, anda boleh dapatkannya sekarang. Anda pasti akan teruja dengan jalan cerita yang saya garapkan sehingga watak-watak utama dalam novel ini digelar Detektif Muda. 

Dapatkan segera!!!!!


Wassalam.


Nota kaki : Malam ni dijangkakan akan berlaku gerhana bulan penuh. Sementara menunggu, saya siapkan entry ini untuk tatapan anda semua.




umiamira
Email : uys.umiamira@gmail.com
Facebook : www.facebook.com/umei ameira

Tuesday, June 14, 2011

Percubaan Pertama

Bismillahirrahmanirrahim...


Hafiz - Awan Nano


Salam untuk semua blogger yang sudi bertandang ke blog ni. Syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurniaNya dapat juga saya menyiapkan blog yang tidak seberapa ini untuk tatapan semua rakan, sahabat, pembaca novel tulisan saya.

Terima kasih juga yang tidak terhingga buat suami tersayang kerana dengan usahanya, blog ini dapat dihasilkan. Terima kasih sayang. So Sweet.

Terima Kasih, Cikgu!

Untuk entry kali ini, saya nak bercerita berkenaan novel pertama tulisan saya iaitu "TERIMA KASIH, CIKGU!". Kepada yang telah membaca novel ini, saya ucapkan jutaan terima kasih atas sokongan anda terhadap novel tulisan saya ini. Ucapan terima kasih juga saya tujukan buat JS Adiwarna, anak syarikat Jemari Seni Sdn. Bhd. atas kepercayaan mereka untuk menerbitkan karya sulung saya ini. Atas kepercayaan ini juga, telah membakar semangat saya untuk melahirkan karya-karya yang lebih baik pada masa akan datang.

Novel bergenre kanak-kanak ini telah diterbitkan sempena Pesta Buku Kanak-Kanak 2010 yang telah berlangsung pada Disember yang lalu di PWTC, Kuala Lumpur. Sungguh mengharukan apabila melihat sambutan terhadap novel ini walaupun saya menyedari saya masih lagi mentah dalam bidang penulisan kreatif ini.


"Saya dah tak minat nak belajar, faham!
Boleh tak jangan tambah masalah saya lagi?"
Tiba-tiba Luqman menjadi berang. Mukanya bertukar merah padam.
Cikgu Salina sangat terkejut apabila disergah sebegitu oleh Luqman.

Itulah antara petikan dialog konflik yang terdapat dalam novel ini. Sebuah novel teladan yang seharusnya menjadi bacaan bukan sekadar kanak-kanak, tetapi juga sesuai dibaca oleh golongan remaja. Banyak plot menarik dan mendebarkan yang cuba saya tonjolkan dalam penceritaan kisah ini. Luqman, watak utama dalam novel memberikan impak besar dalam seluruh penceritaan novel ini.

Kalau semua nak tahu, sang suami adalah orang pertama yang membaca manuskrip novel ini selepas proses 'proofing'. Apa yang membuatkan saya terkejut, dia hampir menitiskan airmata tatkala membaca novel ini kerana dia berpendapat novel ini mempunyai jalan cerita yang cukup kuat dan menarik. Terharu sungguh bila tengok incik suami suka dengan karya saya ni.

Klimaks novel ini adalah bila Luqman akhirnya kembali semula dengan semangat yang baru dan berjaya membalas segala kepercayaan yang diberikan oleh Cikgu Salina. Dia dan rakan-rakannya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang ditempuhi.


Penulis bersama 2 karya tulisannya di Pesta Buku Kanak-Kanak 2010

Kepada pembaca novel ini yang telahpun mendapatkan novel ini sama ada di pesta-pesta buku atau toko-toko buku, saya amat mengharapkan sebarang komen atau pendapat terhadap novel sulung saya ini. Komen-komen anda semua akan menjadi pendorong dan pembakar semangat untuk saya berkarya lagi pada masa akan datang.

Untuk mengetahui jalan cerita serta kisah penuh konflik ini, sila dapatkan novel "Terima Kasih, Cikgu!" daripada toko-toko buku ataupun boleh menempah secara online di laman sesawang Jemari Seni Sdn Bhd di alamat www.jemariseni.com atau boleh menghubungi saya untuk maklumat lanjut.

Jangan lepaskan peluang untuk membaca novel ini.


Wassalam.


Nota kaki : Untuk entry seterusnya, saya akan bercerita tentang novel misteri karya saya. Tunggu...




umiamira
Email : uys.umiamira@gmail.com
Facebook : www.facebook.com/umei ameira